15 Sept 2011 - LBS Lancarkan D'Island Residence

    Dates: 15 Sep, 2011


LBS LANCARKAN D’ISLAND RESIDENCE

‘Syurga Pulau’ di tengah Panorama Kota Jadi Tanda Aras Baru Gaya Hidup

Puchong, 15 September 2011 – LBS Bina Group Berhad (LBS) hari ini melancarkan projek pembangunan kediaman mewah sulungnya, D’Island Residence, berikutan langkahnya menceburi segmen hartanah mewah baru-baru ini. Sebuah enklaf kediaman terdiri daripada rumah banglo, kediaman berkembar, rumah teres mewah dan kondominium mewah, D’Island Residence bakal menjadi projek pembangunan kediaman perdana LBS, diunjurkan menyumbang 30% hingga 40% daripada hasil dan perolehannya dalam beberapa tahun akan datang.

D’Island Residence bakal menjadi alamat bagi mahligai idaman apabila ia muncul menjadi sebuah ‘syurga pulau’ lengkap dihiasi dengan sebuah tasik indah permai. Dengan kawasan tanah seluas 175 ekar dikelilingi kawasan air seluas 1,000 ekar, setiap bangunan kediaman atau komersial menghadapi, atau hanya sepelontar jauhnya dari pemandangan indah permai ini, menawarkan suatu pengalaman hidup gaya resort yang unik.

“Rentak pembangunan di Lembah Klang begitu laju sekali dalam tempoh sepuluh tahun lalu. Jadi apabila membeli rumah, penghuni kota raya sering perlu membuat pilihan antara saiz, lokasi dan persekitaran yang sesuai. D’Island Residence menawarkan cara hidup ala resort dikelilingi panorama kota – bukan sekadar kediaman berkualiti, tetapi sebuah perbandaran bersepadu sepenuhnya yang begitu terserlah dengan tepian air yang cukup menarik, landskap kehijauan, prasana dan kemudahan yang berkualiti, semuanya dalam lingkungan sempadan kota raya,” tegas Pengarah Urusan LBS, Dato’ Lim Hock San.

Pelancaran ini mengetengahkan 28 rumah berkembar berharga daripada RM2.38 juta. Setinggi 3 tingkat, kediaman tepian tasik ini mempunyai kawasan bina seluas 4,864 kaki persegi, melahirkan konsep ruang yang seluas-luasnya buat seisi keluarga. Dengan sejumlah 5+2 bilik tidur dan bilik mandi en suite, kamar induk kediaman disertakan dengan sebuah teres persendirian dan pancuran jendela langit. Ruang dalaman yang luas diperhebatkan lagi dengan tingkap dari lantai ke siling untuk limpahan cahaya semula jadi. Selain itu kediaman dilengkapi dengan lif persendirian untuk memudahkan pergerakan dan laluan buat anggota keluarga yang berumur.

Selari dengan hala tuju dan iltizam baru LBS ke arah projek pembangunan gaya hidup yang lestari, perbandaran eksklusif dengan kepadatan penduduk yang rendah ini turut merangkumkan teknologi dan reka bentuk hijau. Keseluruhan projek pembangunan akan mengetengahkan lampu jalan LED dan pencahayaan daripada sumber pancaran suria untuk menerangi ruang-ruang luar seperti taman dan laluan pejalan kaki. Setiap sebuah kediaman turut dilengkapi sistem pengumpulan air hujan dimana air yang terkumpul itu akan disalurkan untuk pengairan dan kegunaan luar rumah. Sistem ini juga akan diterapkan kepada ruang-ruang luar di seluruh projek pembangunan.  

Untuk keseronokan bersiar-siar berpayungkan langit indah permai, penghuni D’Island boleh menikmati suasana luar bersama ahli-ahli keluarga. Ini kerana persekitaran berlandskap subur akan dilengkapi dengan lorong basikal, laluan luas mesra pejalan kaki, kemudahan komuniti dan tapak perkelahan mengelilingi projek pembangunan dan melingkungi tasik.

Penghuni yang ingin menjaga kecergasan boleh melakukan senaman menghadap kawasan tepian air, di atas trek jogging sejauh 4km, 60% daripadanya menghadapi tasik. Trek turut dilengkapi dengan  gimnasium luar  serta kemudahan riadah yang lain. Kemudahan lain seperti kolam renang, gimnasium, sauna, bilik stim, ruang istirehat dan pusat aktiviti tersedia di rumah kelab.

“Inilah yang dimaksudkan apabila kami membayangkan mencipta habitat hidup di mana keharmonian dan kenikmatan menghuni ruang-ruang hidup kita. Kebanyakan kita pilih cara hidup ala resort ketika pergi bercuti. Di D’Island Residence, “percutian” ini akan menjadi suatu pengalaman harian dimana pemilik rumah boleh berehat daripada kesibukan hidup zaman moden,” jelas Dato’ Lim Hock San.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Dato’ Wira Chor Chee Heung, yang merasmikan majlis pelancaran berkata, “Saya sukacita melihat peserta seperti LBS menerajui dan mencabar diri mereka untuk berusaha lebih cemerlang setiap kali. Lebih daripada sekadar membina rumah kediaman, setiap projek pembangunan dan perbandaran membina asas bagi melahirkan komuniti ceria, seimbang dan lestari.”

Fasa pertama projek pembangunan rumah superlink tiga tingkat Apicalia, dengan bilangan terhad 122 unit dan nilai pembangunan kasar sebanyak RM156 juta, telah dijual lebih 90%. Nilai hartanah ini telah naik melebihi 40 peratus sejak diperkenalkan pada April 2011 lalu dengan harga pelancaran RM270 setiap kaki persegi kini bernilai RM381 sekaki persegi.

D’Island Residence mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar RM3.6 bilion dan dijangka mengambil masa lima hingga tujuh tahun untuk disiapkan. Rumah superlink, kediaman berkembar dan banglo pula akan dilancarkan tahun hadapan. Projek pembangunan perdana ini merupakan langkah pertama ke arah matlamat jangka panjang syarikat untuk menjadi pemaju yang diiktiraf antarabangsa, membina dan mewujudkan ruang-ruang gaya hidup yang meningkatkan kehidupan komuniti.

FAKTA SEIMBAS LALU

Butir-butir hartanah – Balvia

Jenis hartanah

Berkembar 3 tingkat

Jumlah unit

74

Keluasan tanah

Dari 40’ x 80’

Luas binaan kasar

4,864 kaki persegi

Reka letak

2 kamar induk, 3 bilik tidur, 6 bilik mandi, 2 bilik serba guna

Ciri-ciri tambahan percuma (tertakluk kpd syarat)

Sistem pengumpulan air hujan, saluran paip air panas, sistem penggera, sistem interkom

Harga

Daripada RM2.38juta

Tarikh jangka siap

Dalam masa 2 tahun

Butir-butir pembangunan

Pemaju

Astana Modal (M) Sdn Bhd

Kawasan tanah pembangunan

175 ekar

Pegangan Tanah

Pegangan pajak 99 tahun (luput Okt 2108)

Jangka Masa Pembangunan

5 – 7 tahun

Pembangunan bercampur

237 rumah superlink mewah

298 kediaman berkembar

148 banglo

352 super kondominium

Pusat dagangan

Rumah kelab

Hartanah dilancarkan setakat ini

Rumah superlink tiga tingkat 22’ x 80’, 22’ x 100’,

Kediaman berkembar 3 tingkat 40’ x 80’

Ciri-ciri

Lampu jalan LED

Landskap hijau subur

Trek jogging tepian tasik

Kelengkapan gimnasium luar

Sistem keselamatan pusat 3 peringkat

Latar Belakang LBS Bina Group Berhad (LBS)

LBS bermula dengan visi seorang lelaki dalam tahun 1980-an – diasaskan sebagai suatu usaha niaga pembinaan oleh Dato’ Seri Lim Bock Seng. Selepas sepuluh tahun mengalami perkembangan pesat, LBS meneroka pula sektor pembangunan hartanah pada 1992 dengan projek pertama iaitu sebuah Taman Perindustrian Ringan Jelapang Maju di Jelapang, Ipoh. Dalam masa hanya beberapa tahun, kumpulan projeknya memantapkan LBS sebagai sebuah syarikat pemaju yang bereputasi baik dan peserta yang menonjol dalam sektor hartanah Malaysia.

Baru-baru ini, Kumpulan merombak strategi bagi model niaganya, dengan melancarkan imej, identiti dan hala tuju serba baru selari dengan objektif jangka panjang untuk menjadi pemaju yang diiktiraf antarabangsa, membina dan mengilhamkan ruang gaya hidup yang meningkatkan kehidupan komuniti.

Selaras dengan hala tuju baru ini, Kumpulan telah melebarkan portfolio kediaman berkualiti yang sedia ada untuk memasuki pasaran kediaman mewah dan telah mula mengorak langkah untuk menempuh proses perubahan secara beransur-ansur, ini meliputi bidang-bidang produk, pengalaman pelanggan, perkhidmatan lepas jualan, kelestarian, teknologi dan reka bentuk hijau.